"Iskh..macam mana ni?" rungut Haikal. "Macam mana apanya?" jawab abang Hakim. "Cikgu suruh Haikal buat cerita tentang sahabat baik Haikal. Tapi Haikal tak tau. Iskh..macam mana ni...nanti cikgu marah Haikal.""Tak yahlah nak nangis..kalau nangis kerja rumah tu boleh siap ke?"tanya abang Hakim. "Tapi Haikal tak pandai buat..apa Haikal nak tulis..nanti cikgu suruh baca di depan kelas." "Ok..gini..Haikal nak tulis pasal apa?"....Tak jauh dari meja kerja Haikal, terdengar suara mama mencelah dari dapur, "Hakim, kalau nak bagi ajar kat adik tu, biarlah ikhlas...jangan pulak macam cikgu dengan anak murid...apa adik Haikal faham, dia masih enam tahun. Sungguh dia nak berusaha buat kerja rumah tapi jangan samakan dengan Hakim yang dah 12 tahun." Haikal masih menunjukkan riak wajah kebingungan diselang-seli dengan kerut di dahi.
"Haikal nak buat kerja rumah apa sayang," tanya mama. "Cikgu suruh buat cerita, ni cikgu tulis dalam Communication Book ni, tajuk kerja rumah, sahabat karib saya. Tulis lima ayat sahaja." terang Haikal. "Oh...senang je tu" jawab abang Hakim. "Hakim, pada Hakim memanglah senang sebab Hakim dah lalui pengalaman dari tadika dan sampai sekarang dah darjah enam, jangan pulak nak samakan dengan Haikal yang masih tadika. Itu tak adil namanya. Kalau Hakim meletakkan Haikal dalam kedudukan yang sama dengan Hakim sekarang, maknanya Haikal tu dah terlebih advance, boleh seganding dengan abangnya" Hakim mencebik bibir. "Ha..kalau gitu, kenalah ikut rentak dan tahap adik tu," bebel mama.
Seketika Hakim sibuk membina dan menyusun ayat-ayat dengan Haikal. Mama mengingatkan Hakim untuk tidak menyusun ayat yang terlalu panjang dan haruslah disesuaikan dengan tahap adiknya yang masih di tadika.
"Mama, mama, Haikal dah siap" tunjuk Haikal dengan girangnya "Iye.., cuba bacakan mama nak dengar." Sambil mama sibuk di meja dapur dengan kakak yang sibuk mengupas bawang merah. "Mama dengar ye!" Jerit Haikal. "Ye..mama dengar."
Haikal mula membuka helaian muka surat buku latihan yang telah ditulisnya karangan pendek sebanyak lima ayat tadi. "(1) Saya ada tiga orang sahabat. (2)Nama mereka Ahmad, Abu dan Ali. (3)Mereka tinggal di depan rumah saya. (4) Mereka selalu datang bermain basikal dengan saya. (5) Sahabat saya yang paling baik ialah Ahmad."
"Itu je?" tanya mama. "A..a..cikgu kata lima ayat..adik dah tulis lima ayat cukuplah". kata Haikal. "Betul..lima ayat, tapi apa yang adik terangkan pasal kawan adik?Adik baru je kenalkan nama, tapi apa yang istimewanya tentang kawan adik? Takdepun adik cerita?" terang mama.
"Umm...kawan adik ni baik, dia suka bagi adik baca buku dia, dia suka bawak gula-gula ke sekolah dan kongsi dengan adik, lepas tu dia suka tolong adik kalau ada kawan yang badan besar kacau adik. Cikgu kata Ahmad pandai bercakap. Cikgu pilih dia untuk cakap depan orang masa naik pentas masa konvokesyen nanti. Cikgu dah suruh Ahmad berlatih dah dari sekarang. Adik ikut je dengar Ahmad bercakap depan orang."terang Haikal dengan panjang lebar.
"Kalau gitu, adik Haikal nak kena ubah karangan ni. Sahabat baik adik ialah Ahmad. So..mintak tolong abang tulis semula karangan ni." sambung mama lagi. "Ok" sahut Haikal ceria.
"Sahabat Baik Saya: (1) Saya ada seorang sahabat baik yang bernama Ahmad. (2) Ahmad adalah seorang kawan yang pandai, peramah, suka menolong, suka tersenyum, suka bergurau dan suka membantu cikgu. (3) Selain itu, kalau kawan-kawan yang lain berada di dalam kesusahan contohnya diganggu budak badan besar, Ahmad akan selalu ada untuk membantu menyelamatkan kawan-kawan. (4) Ahmad juga tidak kedekut untuk berkongsi makanan dengan kawan-kawannya supaya semua kawan-kawan dapat makanan yang sama. (5) Saya suka Ahmad sebab dia tidak pernah memarahi saya dan kawan-kawan yang lain kerana baginya kawan yang baik membawa ke syurga".
Sejurus selesai mendengar ayat yang terakhir, hati ini tersentuh dengan ayat-ayat tersebut. Bagaimana mungkin nama sahabat anak ini seakan sama dengan nama sahabat ayahnya. Hati ini bertambah sayu bila sifat sahabat yang diterangkan anak kecil ini menyamai sifat yang ada pada sahabat ayah dan ibunya yang baru sahaja kemballi ke rahmatullah. Sungguh jiwa anak kecil ini yang suci tahu menilai erti sahabat. Bagaimanalah nama yang serupa itu seakan sama dengan tingkah laku yang ada dan sifat semulajadi yang ada pada arwah kawan ayahnya. Tanpa disedari, titisan jernih dari kelopak mata mama menitis tanpa dapat dibendung lagi.
"Nak (anak)..kalau Ahmad jaga adik dengan baik, adik Haikal kena jaga kawan adik dengan baik juga ye."kata-kata mama tersekat-sekat. "Kenapa mama menangis?" tanya Haikal. "Tak..tadi kakak kopek kulit bawang merah, dekat dengan mama, pedih masuk dalam mata mama." "Oooh.." Haikal berlalu pergi dengan gembira.
Sungguh indah karangan pendek seorang anak yang berhati suci menilai sahabat karibnya dari sudut pandangannya yang tersendiri. Anak kecil kalau dihalusi dengan baik, akan tersemat di dalam kalbunya sampai bila-bila bersemadi dalam jiwa betapa sahabat karibnya memang sentiasa diberi perhatian. Kita yang dewasa, akibat kesibukan masing-masing mengejar kehendak dan keperluan hidup masing-masing, tidak sedar betapa kita perlu mengambil tahu akan keadaan dan sering berhubungan dengan insan yang kita anggap karib. Tanpa disedari ALLAH maha pengasih. Maka setelah kembali kepadaNYA, baru kita sedar kita telah kehilangan banyak kesempatan yang ada dek kerana sifat individu masing-masing. Namun kerana kita tahu sahabat itu adalah karib, maka walaupun jauh di mata dan kurang meluangkan masa bersama, kehilangan itu tetap terasa kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang sanggup bersama-sama mengharungi kesusahan, berlapar bersama, menangis bersama, gundah-gelana sehingga bersama melepasi tahap susah tersebut. Itulah kenangan terindah bersama seorang SAHABAT. AL-FATIHAH untuk AHMAD BIN KASMAN.
Tuesday, 21 June 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)